Selasa, 16 Februari 2016 | 10:10pm

Pelajar maut dirempuh motosikal rakan

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Tingkatan Lima, maut apabila dirempuh motosikal rakannya di Jalan Tasik Permaisuri, di sini, jam 3 petang tadi.

Mangsa, Muhammad Shahzrie Semoil, 17, yang juga pelajar Kolej Vokasional Setapak, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan bahu.

Mangsa yang juga menunggang motosikal terlebih dahulu melanggar belakang sebuah kereta menyebabkannya terjatuh di atas jalan raya.

Rakannya, Muhamad Azrul Zull Azry, 17, juga pelajar kolej sama, yang menunggang motosikal di belakangnya tidak sempat mengelak dan merempuh mangsa.

Muhamad Azrul hanya cedera ringan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi Muhammad Shahzrie melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis KIA Picanto milik seorang wanita yang diparkir di tepi kanan jalan.

Beliau berkata, mangsa jatuh di atas jalan raya dan kemudian dirempuh rakannya yang menunggang motosikal di belakang.

Markhandan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X