Sabtu, 13 Februari 2016 | 5:14pm

Operasi khas kesan PATI di Telipok

PASUKAN keselamatan menjalankan pemeriksaan di beberapa di kawasan penempatan pelarian Filipina di Telipok, Kota Kinabalu.
PASUKAN keselamatan menjalankan pemeriksaan di beberapa di kawasan penempatan pelarian Filipina di Telipok, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Pasukan keselamatan melancarkan operasi besar-besaran di kawasan penempatan pelarian Filipina di Telipok, dekat sini, awal pagi tadi, dipercayai bagi mengesan pendatang tanpa izin (PATI), termasuk kemungkinan wujud aktiviti keganasan.

Difahamkan, operasi bermula jam 3 pagi itu yang turut membabitkan kawasan penempatan semula penduduk setinggan Pulau Gaya, Telipok, dilaksanakan oleh anggota polis dan tentera, selain dibantu kenderaan berperisai.

Dalam operasi itu, pasukan keselamatan menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah di kawasan berkenaan.

Pada masa sama, anggota keselamatan lengkap bersenjata berkawal di laluan masuk ke penempatan berkenaan dengan beberapa trak tentera turut kelihatan diletakkan berhampiran kawasan terbabit.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, ketika dihubungi mengesahkan mengenai operasi itu, namun enggan mengulas lanjut.

"Kita akan memberi kenyataan mengenai operasi ini nanti. Saya tidak mahu komen apa-apa lagi, namun operasi ini dilakukan di tempat yang disyaki ada PATI," katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan operasi berkenaan dilancarkan bagi mengesan pengganas seperti tersebar di laman sosial.

Berita Harian X