Khamis, 11 Februari 2016 | 12:56pm

Tukang urut didakwa bunuh teman lelaki

KLUANG: Seorang tukang urut wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan membunuh teman lelakinya, bulan lalu.

Tertuduh, Ng Choon Wah, 53, hanya mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuruhuda Mohd Yusof.

Dia dituduh bersama seorang lagi suspek yang masih bebas menyebabkan kematian Ng Kin Hock, 52 tahun, di sebuah rumah di Taman Bahagia, di sini, kira-kira jam 12.30 pagi, 28 Januari lalu.

Mayat mangsa ditemui di sebuah kebun getah di Jalan Niyor, dekat sini, tiga hari kemudian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Norafiah Saini. Tiada jaminan ditawarkan ke atas tertuduh.

Majistret menetapkan 24 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes sementara menunggu laporan bedah siasat, cap jari dan kimia.

Berita Harian X