Ahad, 7 Februari 2016 | 7:13pm

Jejak penyamun guna aplikasi

KUALA LUMPUR: Seorang polis Singapura berjaya mendapatkan semula telefon bimbit yang disamun dua lelaki di Jalan Bukit Bintang, di sini, petang tadi, selepas menjejak suspek menggunakan aplikasi pengesan telefon bimbit pada Iphone 6 miliknya.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, anggota polis terbabit bersama keluarganya menaiki kereta dalam perjalanan menuju ke pusat beli-belah Pavillion, di sini.

Bagaimanapun, ketika sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat berhadapan Yayasan Tun Razak, dua suspek yang menaiki motosikal secara tiba-tiba memecahkan cermin hadapan kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata suspek melarikan beg tangan jenama Hermes dan telefon bimbit Iphone 6, yang semuanya dianggarkan bernilai RM45,000, sebelum melarikan diri.

"Mangsa mengesan suspek menggunakan aplikasi Iphone Tracker dan menemui lokasi kedudukan suspek di sekitar Flat Sri Kota, Cheras.

"Mangsa ke lokasi itu dan melihat empat lelaki sedang berkumpul, dengan seorang daripadanya menggalas beg tangan Hermes milik ibu mangsa.

"Mangsa berjaya menahan seorang lelaki, manakala tiga yang lain melarikan diri," katanya.

Zainol berkata, mangsa hanya berjaya mendapatkan telefon bimbit Iphone 6 miliknya, namun beg tangan Hermes milik ibunya masih bersama suspek lain.

Beliau berkata, mangsa menyerahkan suspek terbabit ke Balai Polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

"Suspek ditahan reman selama lima hari dan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X