Isnin, 1 Februari 2016 | 6:25pm

Cubaan rompak kedai emas guna serbuk cili gagal

PETALING JAYA: Dua penjenayah bersenjatakan tukul besi dan serbuk cili gagal merompak sebuah kedai emas di Jalan 9A/13 Sungai Way, di sini, selepas mereka cemas apabila penggera keselamatan di situ berbunyi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, suspek dipercayai seorang lelaki dan seorang wanita memakai topi keledar berpenutup muka menyerbu kedai emas berkenaan sebelum seorang daripadanya menabur serbuk cili ke dalam kedai.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata ketika kejadian, terdapat empat pelanggan serta empat pekerja di dalam kedai emas berkenaan.

"Suspek wanita menabur serbuk cili ke arah rak pameran kaca dan menyasarkan pekerja di dalam, namun tidak mengenai mereka kerana ada dinding kaca.

"Pada masa sama, rakannya cuba memecahkan kaca rak pameran barang kemas dengan tukul besi beberapa kali, namun gagal. Sejurus penggera berbunyi, mereka bergegas melarikan diri," katanya ketika ditemui di lokasi, sebentar tadi.

Beliau berkata, suspek dipercayai melarikan diri menaiki sebuah motosikal yang diletakkan tidak jauh dari kedai emas terbabit.

"Ada sebuah kamera litar tertutup terletak di luar kedai berhampiran, namun ia tidak berfungsi. Ini menyukarkan kita untuk mengenal pasti jenis motosikal suspek, justeru kita minta saksi yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan.

"Buat masa ini, kita sedang menyiasat sama ada kes ini ada kaitan dengan satu kejadian rompak kedai emas di Seremban beberapa hari lalu yang menggunakan modus operandi lebih kurang sama," katanya.

Tambahnya, tiada barang kemas yang berjaya dilarikan serta tiada pekerja atau pelanggan yang cedera dalam kejadian ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak.

Berita Harian X