Jumaat, 29 Januari 2016 | 12:06pm

30 ditahan dalam Ops Tapis Sepadu

LANGKAWI: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun serta 29 individu lain yang sebahagian besar adalah penagih ditahan, ditahan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah melalui Ops Tapis Sepadu di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Dr Che Ghazali Che Awang, berkata dalam operasi empat setengah jam berakhir 7 malam itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah, serbuk ketum dan ubat batuk.

"Semua ditahan berusia antara 17 dan 40 tahun dalam operasi membabitkan lima lokasi iaitu Kampung Kelibang, Bakau, Sungai Kerman, Sungai Menghulu dan Bukit Malut.

"Semua suspek kini ditahan reman seminggu dan sebahagian besar disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain Seksyen 39(A)(1) akta sama serta Seksyen 30(3) dan 9(1) Akta Racun 1952," katanya.

Che Ghazali berkata, daripada 30 yang ditahan, seorang didapati mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi motosikal.

"Turut ditahan dalam operasi itu dua wanita termasuk seorang remaja berusia 17 tahun yang dipercayai sedang mengandung," katanya.

Operasi disertai dua pegawai dan 22 anggota dari Balai Polis Kuah, Kuala Teriang, Padang Matsirat dan Ayer Hangat.

Berita Harian X