Sabtu, 23 Januari 2016 | 8:09pm

Penyanyi 'wanita' serah diri

AKSI seorang penyanyi tidak senonoh di sebuah kompleks beli-belah di Kota Kinabalu.
AKSI seorang penyanyi tidak senonoh di sebuah kompleks beli-belah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Lelaki menyerupai wanita yang dirakam menyanyi bersama kumpulan buskers sambil sebahagian payu daranya terdedah, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, petang tadi.

Suspek berusia 24 tahun itu menyerah diri pada jam 4.30 petang sambil ditemani bapanya sebelum dia ditahan untuk siasatan lanjut termasuk merekodkan percakapannya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata hasil soal siasat suspek mengaku ke pusat beli-belah Suria Sabah di sini jam 6.30 petang pada 16 Januari lalu bersama dua rakannya.

Katanya, suspek yang bekerja di sebuah salun mengaku nampak sekumpulan buskers membuat persembahan di depan pintu masuk Suria Sabah lalu secara sukarela menyanyi bersama kumpulan berkenaan.

"Suspek telah menyanyi lagu 'I'm Yours' lebih kurang tiga minit. Selepas menyanyi dia terus beredar bersama rakannya.

"Menurut suspek lagi, pihak pengurusan Suria Sabah dan kumpulan buskers tiada kaitan dengannya kerana dia menyanyi tanpa persediaan awal atau jemputan serta tidak menerima apa-apa bayaran.

"Punca suspek menyanyi pada hari kejadian hanya untuk bersuka ria dan tiada motif lain," katanya di sini, sebentar tadi.

Chandra berkata, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan persembahan lucah.

Berdasarkan video aksi `wanita' itu yang tersebar di laman sosial sebelum ini, dia dipercayai menyanyi sambil diiringi sebuah kumpulan buskers dengan orang ramai merakam persembahannya.

Sebelum ini, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir, berkata beliau sudah meminta pegawainya menyiasat kejadian itu yang sepatutnya tidak berlaku khususnya di lokasi tumpuan orang ramai.

Berita Harian X