Khamis, 21 Januari 2016 | 6:44pm

Polis cari 'wanita' nyanyi tayang payu dara

KOTA KINABALU: Polis kini giat mengesan 'wanita' yang melakukan aksi tidak senonoh dengan menyanyi sambil menayang sebahagian payu daranya di sebuah kompleks beli-belah di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata beliau telah mengarahkan anggotanya untuk mengesan, seterusnya menangkap pelaku terbabit selepas menerima laporan polis daripada seorang pengadu, hari ini.

"Pengadu membuat laporan polis selepas membaca berita yang mendakwa seorang wanita mengadakan persembahan nyanyian bersama kumpulan buskers dengan menggunakan pakaian yang terdedah.

"Ketika melakukan persembahan, buah dada pelaku terbabit terkeluar dari bajunya namun dimasukkan semula dengan segera," katanya di sini, sebentar tadi.

Chandra berkata, aksi 'wanita' itu yang menggunakan pakaian sedemikian ketika melakukan persembahan dilihat sebagai aksi kurang sopan atau lucah, lebih-lebih lagi ia berlaku di kompleks beli-belah yang menjadi tumpuan orang ramai.

Siasatan awal mendapati ia berlaku pada 16 Januari lalu kira-kira jam 5 petang, apabila 'wanita' itu dikatakan tiba-tiba mengambil mikrofon dan meminta kebenaran daripada kumpulan 'busking' untuk menyanyi.

Sehubungan itu, beliau meminta pelaku berkenaan untuk tampil membantu siasatan selain meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohanandas di talian 016-4414939.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan persembahan lucah. Berdasarkan video aksi `wanita' itu yang tersebar di laman sosial, dia dipercayai menyanyi sambil diiringi sebuah kumpulan buskers dengan orang ramai merakam persembahannya.

Sebelum ini, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir, berkata beliau sudah meminta pegawainya menyiasat kejadian itu yang sepatutnya tidak berlaku khususnya di lokasi tumpuan orang ramai.

Berita Harian X