Rabu, 20 Januari 2016 | 12:01pm

Pemandu lori didakwa sebabkan kematian bayi 8 bulan

MOHD Rizal (tengah) didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan. - Foto Mohd Azren Jamaludin
MOHD Rizal (tengah) didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KLUANG: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret sebentar tadi, atas tuduhan memandu kenderaan secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang bayi berusia lapan bulan, pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohd Rizal Ahmad, 33, mengaku tidak bersalah sebaik tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuruhuda Mohd Yusof.

Tertuduh dituduh memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Nur Muhris Anas Anuar, di Kilometer 55.8 Jalan Batu Pahat -Mersing, pada jam 11.50 pagi, 16 Januari lalu.

Mohd Rizal didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norafiah Saini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, mahkamah menetapkan jaminan RM6,500 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh manakala lesen memandunya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia, bedah siasat serta laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam kejadian itu, lori pasir tanpa muatan dibawa pemandu itu merempuh sebuah kereta di tempat meletak kenderaan di hadapan kedai menjual alatan ganti kenderaan di Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini.  

Rempuhan itu menyebabkan bayi, Nur Muhris Anas yang ketika itu berada di pangkuan ibunya, terlepas dari pegangan sebelum tercampak ke cermin depan dan cedera di kepala akibat hentakan kuat.

Berita Harian X