Jumaat, 8 Januari 2016 | 4:38pm

Perompak cedera ditembak pengawal premis penggurup wang

PETALING JAYA: Seorang penjenayah cedera di lutut kiri selepas terkena tembakan yang dilepaskan pengawal keselamatan ketika cuba merompak premis pengiriman dan penggurup wang di Jalan PJS 8/9, Dataran Mentari, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, suspek berusia 20-an yang bersenjatakan parang bersama seorang lagi rakannya cuba memecah masuk premis berkenaan namun disedari pengawal keselamatan yang bertugas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata berdasarkan siasatan awal, terdapat tiga suspek terbabit dalam kejadian.

"Dua daripada suspek masuk ke dalam premis sementara, seorang lagi menunggu di luar.

"Dua suspek yang bersenjatakan parang itu berjaya memecahkan pintu gril dan bertembung dengan pengawal keselamatan. Salah seorang kemudian melibas parang ke arah lelaki berkenaan namun berjaya dielak.

"Pengawal berkenaan kemudian mengambil senapang patah dan menembak mangsa bagi mempertahankan diri,"katanya kepada media ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Katanya, dua suspek berjaya melarikan diri menaiki dua motosikal manakala, suspek cedera berjaya ditahan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Berita Harian X