Khamis, 31 Disember 2015 | 3:39pm

Tukang masak didakwa bunuh isteri

PROSIDING pendakwaan terhadap Koh Hon Seng, 52, dibuat dalam wad Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom, di Kluang. - Foto Adnan Ibrahim
PROSIDING pendakwaan terhadap Koh Hon Seng, 52, dibuat dalam wad Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom, di Kluang. - Foto Adnan Ibrahim

KLUANG: Seorang tukang masak didakwa membunuh isterinya, secara menikam dada mangsa hingga mati, dalam kejadian di rumah mereka minggu lalu.

Prosiding pendakwaan terhadap Koh Hon Seng, 52, dibuat dalam wad Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom, di sini, berikutan teruduh masih dirawat akibat kecederaan pergelangan tangan kiri kerana cubaan membunuh diri selepas kejadian itu.

Ketika prosiding di hadapan Majistret Nuruhuda Md Yusof itu, tertuduh hanya mengangguk tanda memahami tuduhan dihadapinya, sejurus kertas pertuduhan dibacakan. Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian dengan niat membunuh isterinya, Sia Mee Lan, 47, di kediaman mereka di Taman Kluang Barat, dekat sini, di antara jam 2.30 pagi hingga 5 pagi pada 20 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 2 Februari depan untuk sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya, Norafiah Saini, memohon tarikh baharu kes bagi menunggu suspek pulih dari kecederaannya.

Tertuduh belum diwakili peguam bela.

Berita Harian X