Rabu, 30 Disember 2015 | 5:08pm

Lelaki Nigeria didakwa tipu dua wanita kenalan Facebook

ANGGOTA polis mengiringi Collins keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. - Foto Saddam Yusoff
ANGGOTA polis mengiringi Collins keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan menipu dua wanita yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook membabitkan kerugian berjumlah RM10,500 pada Ogos lalu.

Collins Sparklys Obianke, 33, yang masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelajar, didakwa di hadapan Majistret Mohd Azali Ibrahim dan Majistret Salamiah Salleh bagi setiap pertuduhan itu.

Di hadapan Mohd Azali, Collins Sparklys didakwa menipu S. Vanitha, 31, bahawa dia dapat membekalkan bungkusan mengandungi telefon bimbit, tiga pasang kasut, tiga utas rantai, komputer riba, beg pakaian dan barangan serta wang AS$20,000 sehingga mendorong wanita itu memasukkan wang sebanyak RM7,500 ke dalam akaun Maybank milik Mislia Jamaat.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank UEP, Subang Jaya di sini antara jam 1.34 tengah hari 24 Ogos hingga 9.19 pagi, 25 Ogos lalu.

Di hadapan Salamiah pula, Collins Sparklys didakwa menipu Foo Pooi Yun, 38, dengan menggunakan modus operandi sama sehingga mendorong wanita itu memasukkan wang sebanyak RM3,000 ke dalam akaun Maybank milik Noor Idawati Abdul Hamid di kawasan Bukit Puchong di sini pada 3.41 petang, 14 September lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Azali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Salamiah menetapkan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N.Sivashangari dan Siti Fatimah Yahya manakala peguam L.A.Gomes mewakili Collins Sparklys. - BERNAMA

Berita Harian X