Rabu, 30 Disember 2015 | 9:57am
TIGA maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung Jalan Tok Burong, Bachok.
TIGA maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung Jalan Tok Burong, Bachok.

Kanak-kanak antara 3 maut nahas motosikal di Bachok

BACHOK: Tiga termasuk budak berusia lima tahun maut dalam nahas dua motosikal di Jalan Tok Burong, dekat Pantai Irama, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Ahmad Isyraf Hazim Ismail, 5, dan Mohd Syahir Rajani, 14, yang menaiki motosikal Yamaha Ego meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa yang maut adalah penunggang motosikal Yamaha 125z, Nik Hanzallah Nik Hassan, 19, manakala dua pemboncengnya, Syahwi Zarfan Sairi, 7, dan Lukman Hakim Abu Manaf, 18, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Abdul Hamid Che Ahmad, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 125z dari arah Perupok ke Bachok cuba memotong kenderaan ketika melalui jalan berkenaan.

Bagaimanapun, motosikal itu dipercayai memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal yang dinaiki Isyraf dan Mohd Syahir dari arah Bachok.

"Ketiga-tiga mangsa iaitu dua penunggang motosikal dan seorang pembonceng maut di tempat kejadian, manakala dua lagi pembonceng motosikal Yamaha 125z cedera parah dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian," katanya.

Berita Harian X