Selasa, 29 Disember 2015 | 6:11pm

Buruh ditahan edar dadah

SEREMBAN: Polis menahan seorang buruh binaan berusia 33 tahun kerana dipercayai terbabit kegiatan pengedaran dadah di Jalan Siamang Gagap, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata pemeriksaan terhadap lelaki itu menemui dadah disyaki jenis syabu seberat 10 gram (gm) dan heroin, 550gm yang dianggarkan bernilai RM12,000.

"Dadah itu ditemui dalam beg yang dibawanya dan bahan terlarang itu dipercayai akan dibungkus semula kepada lebih banyak bungkusan kecil untuk dijual kepada penagih di sekitar daerah ini bagi menggandakan keuntungan.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daeerah (IPD) Seremban, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat lanjut kes itu termasuk mengesan sumber dadah itu yang dipercayai diperoleh daripada sindiket pengedaran yang lebih besar.

Berita Harian X