Sabtu, 26 Disember 2015 | 4:38pm

Penunggang motosikal maut bertembung kereta

IPOH: Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan kereta di Jalan Jelapang berhampiran Simpang Taman Jati di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nor Rasid, berkata mangsa, Rohazai Mohmmad, 40, mati di tempat kejadian.

Katanya, ketika kejadian pemandu PERODUA Viva itu dalam perjalanan ke rumah bapa saudaranya di Taman Jati.

"Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta berkenaan membelok ke simpang kanan selepas lampu isyarat menunjukkan warna hijau.

"Bagaimanapun, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha RXZ dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh kereta berkenaan sehingga mengakibatkan tubuhnya tercampak di atas jalan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nor berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X