Selasa, 22 Disember 2015 | 5:45pm

1 maut, 4 parah dilanggar ketika cuba bantu rakan

KUALA LUMPUR: Hasrat lima pekerja pembersihan jalan membantu mengalihkan rakan mereka yang maut dilanggar kereta ke tepi jalan, tidak kesampaian apabila mereka turut dilanggar oleh sebuah bas mengakibatkan seorang daripada mereka meninggal dunia.

Dalam kejadian di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban pagi tadi, empat daripada pekerja itu parah.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan, P S Markandan, berkata dalam kejadian pertama yang berlaku pada jam 6.15 pagi itu, pekerja pembersih jalan, R Veeraiyan, 45, maut dilanggar sebuah kereta yang dipandu dari arah bandar raya menghala ke tol Sungai Besi itu.

"Lima rakan sekerja mangsa kemudiannya mendapatkan mangsa untuk membawanya ke tepi jalan, namun sebuah bas merempuh mereka, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seorang lagi pekerja yang terbunuh itu ialah R Chinnaiyan, 45 tahun.

Empat mangsa lagi yang cedera parah itu kini dirawat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, manakala dua yang maut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X