Selasa, 22 Disember 2015 | 12:27am

Ali Tinju ditahan mengikut Akta Hasutan

PEMIMPIN Gerakan Merah 1Malaysia, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju ditahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, selepas kenyataannya tersebar di aplikasi WhatsApp. - Foto Sairien Nafis
PEMIMPIN Gerakan Merah 1Malaysia, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju ditahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, selepas kenyataannya tersebar di aplikasi WhatsApp. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Pemimpin Gerakan Merah 1Malaysia, Mohd Ali Baharom atau dikenali Ali Tinju, ditahan pada jam 7 malam tadi mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Mohd Ali, 44, ditahan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini selepas kenyataannya tersebar di aplikasi WhatsApp.

Kenyataan Ali dalam WhatsApp menyebut, 'Pesanan dari Ali Tinju-Ketua Gerakan Merah' disertai rakaman suara yang berbunyi:

"Meminta org Melayu bersatu untuk mempertahankan bangsa kuasa Melayu supaya tidak menderita seperti di Singapura. Menyeru orang Melayu gempur untuk menakutkan peniaga Cina."

Kenyataan itu dipercayai dibuat susulan kekecohan dan rusuhan di Kompleks Kota Raya di ibu negara, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 4 petang itu, sekumpulan lelaki dipercayai pelanggan dan jurujual telefon bimbit bergaduh di tingkat bawah kompleks beli-belah itu menyebabkan pengurusannya menutupnya.

Klip video pergaduhan yang berdurasi dua minit dan 30 saat turut tersebar di laman sosial.

Video itu menunjukkan beberapa lelaki bergaduh dengan jurujual di sebuah kedai telefon bimbit dan ada yang membaling kerusi ke arah sebuah kedai di dalam kompleks berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, yang mengesahkan penahanan Mohd Ali malam tadi berkata, polis merampas telefon milik suspek untuk membantu siasatan.

Berita Harian X