Ahad, 20 Disember 2015 | 12:12pm

Lelaki maut langgar pokok

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur maut selepas kereta yang dipandunya melanggar sebatang pokok, dalam kejadian di Jalan Manjalara menghala ke Sri Damansara, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, Mangsa K Piragasbathi, 24, dikatakan memandu berseorangan terbabas ke lorong kiri dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, berkata lelaki itu disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Hasil siasatan awal, mangsa dipercayai memandu dengan laju hingga menyebabkan dia hilang kawalan.

"Mangsa yang menetap di Taman Kepong dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X