Jumaat, 18 Disember 2015 | 9:26pm

Samun kedai emas guna tukul besi

 

RAWANG: Sebuah kedai emas di Jalan Maxwell, di sini, kerugian RM80,000 selepas disamun dua lelaki yang hanya bersenjatakan tukul besi, petang tadi.

 

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata kejadian pada jam 3.20 petang itu berlaku apabila dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh menyerbu masuk dan memecahkan cermin pameran kedai emas berkenaan.

 

"Dua suspek memakai topi keledar dan sarung tangan bertindak memecahkan cermin pameran menggunakan tukul besi yang dibalut kain sebelum mengambil barangan kemas dan melarikan diri menaiki motosikal jenis Honda EX5," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

 

Ali berkata, tiada pelanggan di dalam premis terbabit ketika kejadian kecuali empat pekerja wanita kedai terbabit.

 

Katanya, tiada kecederaan dilaporkan dan polis sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam premis itu untuk tindakan lanjut.

 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta melaporkannya di mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Ends

Berita Harian X