Rabu, 16 Disember 2015 | 4:12pm

Kaki ayam bertaburan di lebuh raya, kemalangan 8 kenderaan

RIBUAN kaki ayam bertaburan di atas jalan dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Kilometer 92.2 Lebuhraya Utara Selatan.
RIBUAN kaki ayam bertaburan di atas jalan dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Kilometer 92.2 Lebuhraya Utara Selatan.

SUNGAI PETANI: Ribuan kaki ayam bertaburan di atas lebuh raya selepas sebuah lori membawa muatan bahan itu terbalik sebaik merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 92.2 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pagi tadi.

Kemalangan pada jam 6.30 pagi itu turut membabitkan beberapa kenderaan lain, termasuk sebuah kereta dipandu seorang wanita terbabas dan terhumban ke dalam longkang di sebelah kiri lebuh raya.

Jurucakap polis trafik daerah Kuala Muda, ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku selepas lori membawa muatan kaki ayam itu gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh belakang treler membawa muatan simen.

Pada masa yang sama, katanya, sebuah kereta jenis Honda City dan sebuah lori yang cuba mengelak dari merempuh lori itu turut terbabas ke tepi lebuh raya, manakala kereta dipandu seorang wanita terhumban ke dalam longkang.

"Difahamkan, ketika kejadian lori terbabit dalam perjalanan dari Seremban untuk menghantar kaki ayam sejuk beku ke kawasan perusahan di Alor Setar. Treler muatan simen juga menghala arah sama.

"Semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami cedera ringan," katanya.

Jurucakap itu juga berkata, satu kemalangan turut berlaku di laluan arah selatan di lokasi sama akibat tindakan pemandu sebuah treler yang membrek secara mengejut kerana mahu melihat kemalangan di laluan bersebelahan.

"Akibatnya sebuah kereta jenis Toyota Vios yang gagal mengelak merempuh belakang treler terbabit. Dua lagi kereta jenis PROTON Iswara dan PROTON Satria Neo yang mengekori turut merempuh Toyota Vios terbabit," katanya sambil menambah semua mangsa hanya cedera ringan," katanya.

Berita Harian X