Ahad, 13 Disember 2015 | 6:02pm

Polis serbu premis hiburan guna penari warga asing

SEMBILAN penari warga Bangladesh, Nepal dan Pakistan yang ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Dang Wangi, di ibu negara, yang menjadi tumpuan warga Bangladesh berhibur.
SEMBILAN penari warga Bangladesh, Nepal dan Pakistan yang ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Jalan Dang Wangi, di ibu negara, yang menjadi tumpuan warga Bangladesh berhibur.

KUALA LUMPUR: Keasyikan warga Bangladesh yang sedang berhibur dengan tarian gelek 'Bhangra' oleh wanita dari negara asal mereka di sebuah premis hiburan di Jalan Dang Wangi, terhenti apabila diserbu polis, awal pagi tadi.

Premis hiburan Bollywood, yang terletak dalam sebuah pusat beli-belah itu didapati menjalankan perkhidmatan hiburan mereka melebihi masa dibenarkan selain turut menggunakan wanita dari Bangladesh, Nepal dan Pakistan tanpa permit sah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Habibi Majinji, berkata, premis hiburan itu dipercayai mula menjadi tumpuan warga Bangladesh selepas menyajikan tarian bhangra khusus untuk pengunjung mereka sejak enam bulan lalu.

"Premis hiburan ini mula beroperasi sejak awal tahun ini tanpa sebarang permit khidmat tarian, namun sejak enam bulan lalu mereka mula menawarkan perkhidmatan tarian Bhangra selepas melihat pengunjung mereka mula terhibur dengan unsur tarian yang ditawarkan.

SUPERINTENDAN Habibi Majinji.
SUPERINTENDAN Habibi Majinji.

"Justeru demi mengaut keuntungan, pengurusan premis hiburan ini melanggar syarat ditetapkan mengikut Akta dan Peraturan Imigresen serta kesalahan lain," katanya kepada BH

Habibi berkata. hasil pemeriksaan sembilan wanita warga Bangladesh, Nepal dan Pakistan ditahan selepas didapati tidak mempunyai permit kerja sah serta menggunakan permit tamat tempoh.

"Kita juga turut menahan seorang lelaki warga India yang juga adalah pengurus premis hiburan berkenaan serta tiga pengunjung kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Pihak polis akan mengesyorkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyemak semula lesen premis hiburan berkenaan kerana beroperasi melebihi masa," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27 Kaedah-kaedah Hiburan DBKL selain Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 11(7) Peraturan-peraturan Imigresen.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, sentiasa memantau sebarang aktiviti hiburan di kawasan berkenaan bagi memastikan gejala sosial yang menjadi punca kejadian jenayah dapat dipatahkan.

Berita Harian X