Selasa, 8 Disember 2015 | 9:32am

Ditangkap cuba curi kereta polis

KETUA Polis Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad. - Foto Zaman Huri Isa
KETUA Polis Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad. - Foto Zaman Huri Isa

BACHOK: Malang buat seorang pencuri apabila kereta yang hendak dilarikan di Kampung Padang Lati, di sini, kelmarin adalah milik seorang pegawai polis.

Dalam kejadian jam 6 pagi, suspek berusia 21 tahun dipercayai cuba melarikan kereta jenis PERODUA Kancil sebelum penggera kereta itu berbunyi sehingga menyebabkan pegawai polis itu menyedari perbuatan jenayah itu.

 

Ketua Polis Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad, berkata terkejut dengan penggera itu, suspek keluar dari kereta sebelum melarikan diri, tetapi dapat ditangkap pegawai berkenaan kira-kira 100 meter dari situ.

 

Katanya, pegawai polis berkenaan turut membuat pemeriksaan badan terhadap suspek dan menemui satu tiub dipercayai dadah.

 

"Suspek kemudian di bawa ke Balai Polis Bachok dan direman empat hari bermula semalam," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan dan Pelancaran Motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) 250 CC dan Rondaan Cegah Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.

 

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Azmi Mokhtar.

 

Abdul Hamid berkata, dalam siasatan awal, suspek mendakwa dia ke rumah mangsa dengan dihantar rakan dan berjanji untuk berjumpa di satu lokasi selepas berjaya melarikan kereta berkenaan.

 

"Hasil ujian saringan, suspek turut didapati positif dadah dan pernah mempunyai rekod kes curi kenderaan," katanya.

 

Katanya, kes di siasat di bawah Seksyen 379 (A)/511 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan mencuri kenderaan.

 

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, penyerahan empat unit motosikal 250 CC itu dapat mempertingkatkan unit rondaan polis sehingga ke ceruk kampung.

 

Katanya, sebelum ini unit rondaan dijalankan dengan berjalan atau di pondok polis di Pekan Jelawat dan Bandar Bachok.

 

"Dengan adanya unit bermotosikal ini, kita dapat memperluaskan kawasan rondaan dan digunakan dalam program kepolisan masyarakat yang diadakan setiap bulan bagi meningkatkan kecekapan anggota dan menjalin hubungan lebih erat dengan masyarakat," katanya.

 

Berita Harian X