X
Khamis, 3 Disember 2015 | 6:32pm

Kanak-kanak maut akibat letupan bom ikan

KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak etnik Pala'u berusia enam tahun, maut akibat letupan bom ikan buatan sendiri yang merobohkan rumah setinggan atas air didiaminya di Kampung Hidayat dekat Pulau Bum-Bum, Semporna, awal pagi tadi.

Kejadian itu turut mengakibatkan empat ahli keluarga mangsa termasuk kakak serta abangnya, semuanya berusia 10 hingga 27 tahun cedera.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata tiada laporan polis dibuat susulan letupan itu namun pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.30 pagi.

Beliau berkata, siasatan mendapati kanak-kanak lelaki terbabit terus dikebumikan oleh ahli keluarganya selepas kejadian itu, namun polis akan mendapatkan arahan mahkamah untuk menggali semula kubur mangsa bagi tujuan bedah siasat.

"Siasatan mendapati ketika kejadian rumah setinggan berkenaan didiami oleh 11 ahli keluarga mangsa dan berdasarkan maklumat, polis menahan suspek yang juga bapa kanak-kanak terbabit untuk siasatan lanjut.

"Suspek pada mulanya mengatakan ketika melihat seorang lelaki dikenali sebagai Boy dipercayai telah membaling bom ke rumahnya.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut menunjukkan kejadian berlaku atas kecuaian suspek yang mengakibatkan bom itu meletup hingga merobohkan rumahnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, sebentar tadi

Berita Harian X