Khamis, 3 Disember 2015 | 12:54pm

Polis bantuan maut MyVi terbabas di LPT2

KERETA Proton Myvi yang dipandu mangsa, Mohd Nazrul Mohd Ropi, 23, dari Kampung Bukit Aceh Matang, Kuala Berang,Terengganu, yang maut dalam kemalangan di kilometer 339.9 Lebuh Raya Pantai Timur LP 2 pagi ini. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Seorang anggota Polis Bantuan maut selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 339.9 Lebuh Raya Pantai Timur II (LPT2), dekat sini, pagi ini.

Dalam kemalangan jam 6.45 pagi, Mohd Nazrul Mohd Ropi, 23, yang berasal dari Kampung Bukit Aceh Matang, Kuala Berang maut di tempat kejadian.

Nahas berlaku apabila kereta Perodua MyVi yang dipandu mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum berpusing. Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan sehingga parah di kepala dan patah kaki kiri.

Ketua Polis Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X