Khamis, 19 November 2015 | 2:17pm

40 sigun seludup bernilai RM32,000 dirampas

ANTARA ayam 'sigun' yang dirampas oleh anggota PPM Semporna di perairan Gelam-Gelam di Semporna, malam tadi.
ANTARA ayam 'sigun' yang dirampas oleh anggota PPM Semporna di perairan Gelam-Gelam di Semporna, malam tadi.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 40 ekor ayam dianggarkan bernilai RM32,000 disyaki diseludup dari negara jiran untuk kegiatan ayam sabung, malam tadi.

Ia susulan penahanan tiga individu termasuk seorang wanita di perairan Gelam-Gelam dekat sini, jam 8.45 malam, selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota PPM Semporna yang menjalankan rondaan menerusi Ops Tugas Khas.

Difahamkan, semua ayam terbabit yang lebih dikenali sebagai 'sigun' oleh penduduk tempatan adalah dari jenis bersaiz besar, biasanya digunakan untuk kegiatan sabung ayam.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui 22 bungkus makanan ayam dianggarkan bernilai RM220 dan semua rampasan termasuk unggas berkenaan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

"Semua barang rampasan termasuk bot laju serta enjin dianggarkan bernilai RM41,220 dan siasatan dijalankan mengikut Ordinan Haiwan 1962," katanya di sini, hari ini.

Dalam kes berasingan, sepasukan anggota PPM Semporna menahan empat lelaki termasuk remaja berusia 16 tahun kerana melanggar arahan perintah berkurung di perairan Kapalai, lewat malam tadi.

Lelaki berusia 16 hingga 27 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah bot pam oleh anggota PPM yang menjalankan Ops Tugas Khas di perairan terbabit, jam 11.45 malam.

Mohamad berkata, pemeriksaan lanjut terhadap semua individu terbabit mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen permit pengecualian perintah berkurung.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai tujuan mereka berada di tengah perairan terbabit ketika perintah berkurung dikuatkuasakan.

"Tangkapan serta barang rampasan termasuk enjin bot serta satu set alat menyelam yang dianggarkan bernilai RM4,000 dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Perintah berkurung di tujuh perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dikuatkuasakan setiap hari mulai jam 7 malam hingga 5 pagi.

Berita Harian X