Rabu, 18 November 2015 | 5:29pm
SEORANG ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu berhubung pengambilan pembantu rumah, membabitkan transaksi berjumlah RM4,000. - Foto hiasan
SEORANG ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu berhubung pengambilan pembantu rumah, membabitkan transaksi berjumlah RM4,000. - Foto hiasan

Ibu tunggal didakwa tipu urusan pembantu rumah

PETALING JAYA: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu berhubung pengambilan pembantu rumah, membabitkan transaksi berjumlah RM4,000.

Bagi pertuduhan pertama, Aisha Julia Ch'ng Abdullah, 56, didakwa menipu Fatimah @ Hasnah Daud, 66, seorang warga emas, dengan memperdayakannya untuk menyerahkan wang sebanyak RM500 dari akaun CIMBnya ke dalam akaun CIMB tertuduh bagi urusan mendapatkan pembantu rumah.

Pertuduhan kedua pula, Aisha Julia Ch'ng didakwa menipu mangsa sama sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai sebanyak RM1,500 manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menipu mangsa sama sehingga menyerahkan wang RM2,000 dengan cara pindahan dari akaun bank sama bagi urusan sama.

Wanita itu didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di No 6 Jalan 12/14, di sini pada 1 Mei, 16 Julai dan 23 Ogos 2015.

Aisha Julia Ch'ng yang memakai jubah berwarna hitam dan tudung berwarna putih didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari menawarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan perlu menanggung empat orang anak.

Majistret Surya Wati Shawal membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes.

- BERNAMA

Berita Harian X