Isnin, 16 November 2015 | 8:16pm
SEBAHAGIAN kenderaan di tempat letak kereta Seksyen 13 ditenggelami air selepas banjir kilat di Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
SEBAHAGIAN kenderaan di tempat letak kereta Seksyen 13 ditenggelami air selepas banjir kilat di Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

9 kawasan di Shah Alam, Klang dilanda banjir kilat

SHAH ALAM: Sembilan kawasan di Shah Alam dan Klang mengalami banjir kilat akibat hujan lebat sejak tengah hari tadi yang menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila banyak jalan tidak dapat dilalui.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu bermula 1 tengah hari hingga 5.45 petang tadi.

Di Shah Alam, kawasan yang terlibat ialah Seksyen 13, Seksyen 20, Seksyen U8, Stesen Komuter Batu 3, Persiaran Kerjaya dan Tol Bukit Jelutong.

"Di Klang pula, lokasi terbabit ialah Kampung Bukit Kerayong, Taman Sentosa dan Jalan Kebun Nenas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata sehingga 6 petang ini, keadaan masih terkawal dan tiada kerja-kerja pemindahan mangsa dilakukan.

Berdasarkan laporan, hanya KPJ Selangor Specialist Medical Centre di Seksyen 20 dilimpahi air dan bomba sedang menjalankan kerja mengepam air dari premis itu.

Di kawasan lain juga tiada mangsa terlibat memandangkan banjir hanya menghalang laluan jalan raya.

- BERNAMA

Berita Harian X