Rabu, 11 November 2015 | 2:34pm

Lelaki cuba curi kabel elektrik diberkas

TAWAU: Pasukan Polis Bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berjaya memberkas seorang lelaki yang cuba mencuri kabel elektrik di sebuah pencawang SESB di Batu 3, dekat sini, semalam.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset), Muhamad Nazri Pazil, berkata suspek berusia lingkungan 20-an yang juga warga asing itu ditahan kira-kira jam 5 petang di pencawang elektrik berkenaan.

"Suspek dipercayai cuba untuk mencuri peralatan dan kabel tembaga di dalam pencawang elektrik itu. Turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel elektrik," katanya dalam satu kenyataan.

Suspek kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, katanya.

Muhamad Nazri berkata, sejak sebulan lalu sahaja sebanyak 11 kes cubaan mencuri harta SESB direkodkan, melibatkan kerugian kira-kira RM300,000.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan di setiap pemasangan elektrik milik SESB supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

"Pengguna juga diminta untuk menghubungi talian khas Polis Bantuan SESB di 088-282455 sekiranya terlihat individu yang mencurigakan dan bukan anggota kerja SESB berada di dalam kawasan pencawang elektrik," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X