Jumaat, 27 November 2015 | 9:44pm

Remaja cedera peha akibat ditimpa dahan pokok

ANGGOTA Unit Tindakan Khas Majlis Perbandaran Dungun berusaha mengalihkan pokok tumbang.
ANGGOTA Unit Tindakan Khas Majlis Perbandaran Dungun berusaha mengalihkan pokok tumbang.

DUNGUN: Seorang remaja cedera di peha kanan selepas ditimpa dahan pokok yang tumbang menghempap rumah keluarganya di Kampung Tanjung Pagar, dekat sini, pagi tadi.   

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi Nur Diana Zulkifli, 13, lebam di peha kanan dan rumah kayu berkenaan rosak teruk akibat ditimpa pokok tumbang.   

Ibu mangsa, Rosnani Wahab, 42, berkata, ketika kejadian dia sedang berkemas di dapur sebelum tiba-tiba berlaku angin kencang dan hujan lebat.   

"Ketika kejadian, suami, Zulkifli Moftar, 43, ke pasar manakala Nur Diana berada di dalam bilik. Tiba-tiba saya terdengar bunyi yang kuat sebelum terdengar jeritan anak di dalam bilik. Saya berlari masuk ke dalam bilik anak dan mendapati pahanya dihempap dahan daripada pokok yang tumbang.   

"Saya kemudian menjerit memanggil adik yang tinggal bersebelahan untuk meminta bantuan. Adik saya terpaksa menarik Nur Diana dengan berhati-hati sebelum berjaya mengeluarkannya dari timbunan dahan pokok yang menimpanya.   

"Syukur Nur Diana selamat dan hanya mengalami kecederaan dan lebam di paha saja," katanya.   

Rosnani berkata, berikutan kejadian itu dia tiga beranak terpaksa menumpang di rumah adiknya buat sementara waktu.   

Sementara itu, sepasukan anggota Unit Tindakan Khas Majlis Perbandaran Dungun bertungkus lumus mengalihkan pokok tumbang yang menimpa rumah mangsa.

Berita Harian X