Rabu, 28 Oktober 2015 | 5:16pm

Suspek pecah masuk kedai ditahan di Shah Alam

SHAH ALAM: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memecah masuk sebuah premis perniagaan di Seksyen 15 di sini, Rabu lalu.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan dalam Ops Pintu yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 4.15 pagi, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Shafien Mamat, berkata bertindak atas maklumat, suspek ditemui dalam keadaan mencurigakan ketika sedang cuba memasuki sebuah kereta. 

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaannya, polis menemui sebuah beg berisi pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah pecah masuk.

"Polis juga turut merampas kenderaan mangsa termasuk dua beg yang mengandungi pelbagai peralatan elektronik serta barangan kemas dipercayai milik mangsa," katanya ketika dihubungi.

Shafien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 30 Oktober ini.

Berita Harian X