Jumaat, 23 Oktober 2015 | 2:27pm

2 lelaki dipercayai pengedar dadah diberkas

SHAIKH Abdul Adzis (tengah) menunjukkan dadah dipercayai jenis heroin yang dirampas dalam dua serbuan di pangsapuri Cheng Ria, petang semalam.
SHAIKH Abdul Adzis (tengah) menunjukkan dadah dipercayai jenis heroin yang dirampas dalam dua serbuan di pangsapuri Cheng Ria, petang semalam.

MELAKA: Dua lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di kawasan pangsapuri Cheng Ria, di sini, petang semalam. Dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu, polis turut menemui sejumlah dadah dipercayai jenis heroin dianggarkan bernilai lebih RM10,000.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata kedua-dua lelaki berusia 27 tahun dan 40 tahun itu dipercayai melakukan aktiviti mengedar dadah di kawasan daerah Melaka Tengah, di sini. Beliau berkata, dalam serbuan pertama, pemeriksaan ke atas lelaki berusia 27 tahun itu polis menjumpai dadah seberat kira-kira 453 gram.

"Pemeriksaan ke atas suspek kedua pula menemui dadah seberat 150 gram dan semua bahan terlarang itu dianggarkan bernilai lebih RM10,000. "Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya pada sidang media, sebentar tadi.

Berita Harian X