Sabtu, 10 Oktober 2015 | 4:51pm

Pengantin antara 4 terbunuh nahas di Besut

KEADAAN kereta Perodua Viva dan pikap Isuzu D-Max bertembung di Kampung Renik, Besut, hari ini. - Foto ihsan pembaca.
KEADAAN kereta Perodua Viva dan pikap Isuzu D-Max bertembung di Kampung Renik, Besut, hari ini. - Foto ihsan pembaca.

JERTIH: Empat terbunuh termasuk seorang pengantin lelaki selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah pikap Isuzu D-Max di Kampung Renik, Besut, di sini, tengah hari tadi.

Dalam nahas itu kira-kira jam 2.20 petang, mangsa yang maut ialah pengantin lelaki, Mohamad Norizan Mohd Nor, 20, yang baru berkahwin dengan pasangannya, Noraliza Razaki, 18, semalam di Kampung Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan. 

Turut terbunuh ialah ibu mentua mangsa, Rozila Jusoh, 42, dan dua adik iparnya, Norma Mohd Razaki, 18, serta Mohd Haikal Razaki, 2.   

Ketika kejadian, pasangan berkenaan dalam perjalanan ke rumah pengantin lelaki di Kampung Gong Terap, Chalok, Setiu, untuk majlis menyambut menantu. 

Pengantin perempuan yang lengkap memakai persalinan perkahwinan berwarna ungu dilaporkan cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Besut, untuk rawatan.   

Nahas dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Viva dipandu Mohamad Norizan dari arah Jertih menghala ke Setiu bergesel dengan sebuah teksi ketika cuba memotong kenderaan itu, sebelum terbabas dan bertembung dengan pikap berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Berita Harian X