X
Ahad, 4 Oktober 2015 | 3:43pm

Polis tahan 3 mat rempit di Georgetown

GEORGETOWN: Polis menahan tiga mat rempit yang sedang berlumba haram bersama sekumpulan samseng jalanan di Jalan Tengku Kudin 1, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, hasil risikan dan intipan, sepasukan polis menjalankan operasi di kawasan berkenaan dan mendapati kira-kira 70 penunggang motosikal sedang berlumba.

"Dalam operasi yang bermula 12.30 tengah malam itu, polis mendapati sekumpulan penunggang motosikal menunggang kenderaan mereka secara bersaing dan melakukan aksi-aksi berbahaya di Jalan Tengku Kudin 1 dan Lebuh Tengku Kudin 3," katanya di sini hari ini.

Mior Faridalatrash berkata, kumpulan penunggang itu membuat beberapa pusingan di kawasan berkenaan sebelum polis berjaya memintas dan menahan tiga lelaki yang sedang berlumba itu.

Beliau berkata, penunggang motosikal yang lain berjaya melarikan diri dengan memecut laju ke arah pusat bandar, katanya.

Katanya, berkata tiga lelaki berusia 21 hingga 24 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Seorang daripada yang ditahan itu turut positif dadah," katanya.

Sementara itu, Mior Faridalatrash berkata dalam operasi Samseng Jalanan di sekitar Georgetown sehingga awal pagi ini, polis menyita sembilan motosikal kerana pemiliknya mengubah suai kenderaan.

Katanya, dalam operasi yang sama 46 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas. - BERNAMA

Berita Harian X