Jumaat, 18 September 2015 | 8:03pm

Reman 4 suspek kes bunuh dilanjut seminggu

KANGAR: Tempoh tahanan reman tiga lelaki dan seorang wanita dilanjutkan seminggu lagi bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki berhampiran Sungai Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis pada 11 September lepas.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata suspek lelaki berusia 23 hingga 26 tahun dan seorang wanita berumur 21 tahun itu yang berasal dari Kuala Sanglang, Perlis, sebelum ini direman seminggu.

Katanya, mereka direman sehingga 25 September ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Keempat-empat suspek ditahan pada hari sama selepas mayat lelaki itu ditemui dengan tangan terikat.

Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah mengeluarkan perintah reman itu hari ini.

Kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya minggu hadapan sebelum suspek dituduh di mahkamah atas dakwaan membunuh.

- BERNAMA

Berita Harian X