Rabu, 16 September 2015 | 5:15pm

Dua lelaki ditahan bersama pistol tiruan

KANGAR: Polis menahan dua lelaki bersama sepucuk pistol tiruan dan enam kelongsong peluru dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong Jeliti, dekat Bintong, di sini, malam tadi.

Kedua-dua suspek berusia 23 dan 29 tahun ditahan selepas pemeriksaan dilakukan susulan serbuan itu kira-kira jam 11.15 malam, menemui senjata api tiruan jenis WinGun Patent bersama kelongsong peluru berkenaan di dalam sebuah beg bimbit berwarna hitam, yang dijumpai di premis terbabit.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, mengesahkan penahanan kedua-dua suspek hasil serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Perlis.

"Selain pistol bersama kelongsong peluru, kita turut menjumpai 1.05 gram (g) dadah jenis syabu, sebelum semua barangan terbabit dirampas untuk tindakan lanjut.

"Kedua-dua suspek yang berasal dari Bintong, dekat sini, kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960," katanya ketika dihubungi.

Berita Harian X