Rabu, 9 September 2015 | 12:40pm

Penyelia kilang dituduh bunuh nenek, bekas teman wanita

KLUANG: Seorang penyelia kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh neneknya pada 2013 dan bekas teman wanitanya bulan lepas.

Siva Vatumalay, 33, hanya mengangguk faham selepas dua pertuduhan itu dibacakan juru bahasa di hadapan Majistret Nuruhuda Yusof.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Siva didakwa membunuh neneknya, Danata Letchumy a/p Govindasamy, 85, di No 25, Jalan Kinabalu, Taman Koperasi di sini antara 9.30 pagi dan 10.30 pagi, 11 Julai 2013.

Dia juga didakwa membunuh bekas teman wanitanya, Chitra a/p Suppiah, 31, di sebuah rumah di Jalan 8/6, Taman Desa Kluang di sini antara pukul 12.30 tengah hari dan 3.45 petang pada 25 Ogos lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes bagi membolehkan mahkamah mendapatkan laporan forensik dan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini manakala tertuduh diwakili peguam Ramesh Vasan.

- BERNAMA

Berita Harian X