Ahad, 6 September 2015 | 1:11pm

Pegawai trafik parah selepas dirempuh Mat Rempit

KLUANG: Seorang pegawai penguat kuasa trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang cedera parah akibat dirempuh Mat Rempit dalam Ops Roda/Rempit di Km 58, Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata kejadian jam 2.40 pagi ketika Inspektor Margaret Tagum anak Goen, 32, sedang melakukan sekatan jalan raya bersama 20 anggota trafik dan pasukan sukarelawan polis.

Katanya, seorang daripada sekumpulan Mat Rempit yang datang dari arah Mersing menuju bandar Kluang merempuh pegawai itu ketika mereka cuba meloloskan diri dari sekatan berkenaan.

Rempuhan itu menyebabkan Tagum patah tangan, tulang pinggul dan kaki selain mengalami pendarahan dalaman.

Beliau kini dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini, katanya.

Mohamad berkata penunggang terbabit yang berumur 17 tahun dapat ditahan selepas terjatuh dari motosikalnya.

Beliau berkata enam rakan remaja itu yang melarikan diri turut ditahan kemudiannya.

Mereka termasuk remaja berkenaan yang berumur antara 14 hingga 20 tahun didapati tidak mempunyai lesen dan dipercayai sedang berlumba ketika kejadian, katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X