Jumaat, 4 September 2015 | 12:11pm

Sindiket curi kereta tumpas, polis Selangor tahan 3 lelaki

SHAH ALAM: Polis Selangor percaya sudah menumpaskan satu sindiket curi kenderaan dengan tertangkapnya tiga lelaki di Taman Seri Gombak, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah, berkata suspek berusia 31 hingga 36 tahun di tahan di depan sebuah rumah kira-kira jam 1.15 petang.

Katanya, polis turut merampas empat kereta yang dianggarkan bernilai lebih RM300,000.

"Siasatan awal mendapati suspek terbabit dengan 10 kes curi kenderaan sekitar Gombak dan Selayang.

"Kereta yang dicuri suspek akan dijual atau dileraikan komponennya," katanya dalam sidang media di IPK Selangor, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan.

Berita Harian X