Isnin, 31 Ogos 2015 | 1:09am

Polis Kedah tahan 14 individu sertai perhimpunan Bersih 4.0

SUNGAI PETANI: Seramai 14 individu yang menyertai himpunan Bersih 4.0 di dua lokasi di sekitar negeri ini, malam tadi ditahan polis selepas melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, berkata 10 individu membabitkan sembilan lelaki dan seorang wanita ditahan ketika berhimpun di Dataran Zero, di sini, manakala selebihnya ditahan ketika menyertai himpunan sama di kawasan sekitar Menara Alor Setar.

"Semua individu terbabit ditahan selepas masing-masing mengingkari arahan larangan pemakaian baju kuning tertera logo dan tulisan Bersih 4, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar dan IPD Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.

"Kita sudah beri mereka nasihat beberapa kali supaya tidak memakai baju kuning itu, namun mereka tetap berdegil. Kita tidak ada pilihan selain mengambil tindakan menahan mereka untuk tindakan susulan," katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan himpunan Bersih 4.0 di Dataran Zero, di sini.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan suatu perintah kerajaan untuk melarang pakaian kuning serta pakaian yang tertulis perkataan 'Bersih 4' sempena himpunan terbabit, selain apa-apa bahan bercetak lain dan risalah yang mendorong perhimpunan itu.

Berita Harian X