Rabu, 26 Ogos 2015 | 10:56pm

4 lelaki bersenjata parang rompak premis pengurup wang

SERDANG: Sebuah premis pengurup wang yang baru sebulan beroperasi di Taman Equine, Seri Kembangan, di sini, kerugian RM100,000 selepas disamun empat lelaki bersenjata parang, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, empat lelaki menaiki dua motosikal dengan memakai topi keledar bertutup penuh serta bersenjata dua bilah parang memasuki premis itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad, berkata dua suspek menunggu di motosikal dengan enjin masih hidup manakala dua cuba mencabut tingkap plastik gelongsor di hadapan kaunter, namun gagal.

"Suspek berang apabila gagal mencabut tingkap plastik gelongsor itu lalu menendangnya sebelum menyerbu masuk dan menggeledah premis terbabit.

"Suspek kemudian mengambil sejumlah wang serta pelbagai mata wang asing yang disimpan di dalam kaunter berjumlah kira-kira RM100,000 serta sebuah telefon bimbit," katanya.

Razimi berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati premis itu tidak mempunyai sistem keselamatan yang khas, selain tiada pengawal keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera keselamatan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan suspek dan pihaknya akan meneliti rakaman CCTV daripada bank berhampiran.

"Tindakan susulan (meneliti rakaman CCTV) akan diambil esok memandangkan ketika kejadian bank itu sudah tutup.

"Namun, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek berbadan gempal, seorang lagi berbadan kecil manakala dua lagi suspek gagal dikenal pasti," katanya.

Katanya, pihaknya kini sedang giat menjalankan usaha memburu suspek yang dipercayai warga tempatan.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Berita Harian X