Selasa, 25 Ogos 2015 | 11:37pm

Pelajar maut dirempuh kenderaan pacuan empat roda

ANTARA penunggang motosikal yang dirawat setelah terlibat dalam kemalangan maut di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, petang tadi. - Foto Ihsan Pembaca
ANTARA penunggang motosikal yang dirawat setelah terlibat dalam kemalangan maut di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, petang tadi. - Foto Ihsan Pembaca

SHAH ALAM: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) maut, manakala rakannya parah selepas kedua-duanya bertembung sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam nahas di Persiaran Mokhtar Dahari di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Mohammad Hairie Akmal Jamaludin, 18, mati di lokasi akibat cedera parah pada beberapa anggota badannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, berkata sebelum kejadian, kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai memotong beberapa kenderaan lain di hadapannya dan cuba masuk lorong asal.

"Akibat kesesakan, pemandu pacuan empat roda itu tidak sempat masuk ke lorong asalnya sebelum bertembung motosikal ditunggang mangsa dan rakannya, Nor Afiq Nor Izmin, 19, dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan raya. Hairie Akmal mati di tempat kejadian manakala rakannya cederaan parah.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, manakala rakannya yang cedera parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk rawatan kecemasan," katanya.

Shafien berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit turut mendapat rawatan di HTAR kerana kecederaan di perut.

Katanya, punca sebenar nahas masih dalam siasatan.

Berita Harian X