Sabtu, 22 Ogos 2015 | 11:27am

5 sekeluarga maut nahas di Jalan Kimanis-Keningau

LIMA sekeluarga maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas lalu terbalik dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Kimanis-Keningau, dekat sini, petang semalam. - Foto ihsan pembaca
LIMA sekeluarga maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas lalu terbalik dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Kimanis-Keningau, dekat sini, petang semalam. - Foto ihsan pembaca

PAPAR: Lima sekeluarga maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas lalu terbalik dalam kemalangan di Kilometer 40 Jalan Kimanis-Keningau, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, kelima-lima mangsa iaitu pemandu, Nur Fitriati Sukarno, 28; Eka Sudarmono Sukarno, 37; Dwi Rahmahyanti Sukarno, 35; Triana Nur Khasanah Sukarno, 34; dan ibu mereka Supiati Mohd Salleh, 53, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi penumpang berusia dua tahun iaitu Muhammad Hamizan Khaidir cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Geogre Abd Rakman, berkata siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki semua mangsa dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Kimanis.

Apabila tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba kenderaan dipandu Nur Fitriati terbabas sebelum terbalik ke laluan bertentangan.

"Pemandu dan empat penumpang di dalam kenderaan terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang kanak-kanak berusia dua tahun mengalami cedera parah dan dirawat QEH," katanya ketika dihubungi.

Katanya, punca kematian semua mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.

Semua mangsa sudah dihantar ke Hospital Papar untuk bedah siasat.

Berita Harian X