Khamis, 30 Julai 2015 | 10:43am

2 rakan sekampung terbunuh selepas motosikal bertembung kereta di Kuala Pilah

NAHAS membabitkan motosikal bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 32 Jalan Seremban-Kuala Pilah, Tanjung Ipoh, di sini, petang semalam. - Foto Amran Yahya
NAHAS membabitkan motosikal bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 32 Jalan Seremban-Kuala Pilah, Tanjung Ipoh, di sini, petang semalam. - Foto Amran Yahya

KUALA PILAH: Dua rakan sekampung terbunuh apabila motosikal yang mereka tunggang bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 32 Jalan Seremban-Kuala Pilah, Tanjung Ipoh, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, penunggang motosikal Modenas Kriss GT128, Muhammad Hazany Zham Hazmy, 17, dan pembonceng, Ahmad Nor Asri Mohd Nor, 15, disahkan mati di tempat kejadian.

Ketika kejadian, mereka dikatakan sedang dalam perjalanan dari pekan ini ke rumah masing-masing di Kampung Talang, Tanjung Ipoh.

Mereka dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain dari arah yang sama, apabila bertembung dengan sebuah kereta PERODUA Myvi dari arah Seremban.

Kedua-dua remaja terbabit mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. Mayat mereka kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini, untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Azmi Abdul Rahim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau juga meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Berita Harian X