Rabu, 22 Julai 2015 | 3:24pm

Panglima Angkatan Tentera Lubnan hargai peranan MALBATT

GAMBAR fail, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin (dua dari kanan) memeriksa bersalaman dengan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-2 di Selatan Lubnan, pada 18 Julai lalu. - Foto NSTP
GAMBAR fail, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin (dua dari kanan) memeriksa bersalaman dengan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-2 di Selatan Lubnan, pada 18 Julai lalu. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Lubnan mahu Pasukan Pengaman Malaysia (MALBATT) 850-2 terus berada di Lubnan bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara itu.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, ketika lawatannya ke Lubnan minggu lalu, Panglima Angkatan Tentera Lubnan menghargai sumbangan Angkatan Tentera Malaysia.

"Beliau amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disumbangkan oleh kita dan meminta MALBATT terus berkhidmat dalam melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).

"Kekuatan MALBATT adalah pada perkhidmatan dalam aspek kerjasama awam tentera ('Civil-military Cooperation' - CIMIC), kekuatan bagi Angkatan Tentera jika dibandingkan dengan pasukan lain di bawah Unifil," katanya selepas menghadiri Majlis penyampaian replika sumbangan mesin dialisis anjuran Yayasan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau berkata buat masa ini kekuatan seramai 850 anggota MALBATT termasuk 30 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah mencukupi untuk mengawal aspek keselamatan di Lubnan.

"Daripada apa yang saya lihat, pasukan MALBATT 850-2 yang berada di sana selama sembilan bulan telah melaksanakan tugas dan peranan mereka dengan cemerlang," katanya. BERNAMA

Berita Harian X