Sabtu, 18 Julai 2015 | 1:58pm

Polis Terengganu keluarkan 123 saman ke atas mat rempit

ISMAIL melihat motosikal yang diubahsuai bagi tujuan perlumbaan haram yang dirampas polis. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
ISMAIL melihat motosikal yang diubahsuai bagi tujuan perlumbaan haram yang dirampas polis. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 123 saman dikeluarkan terhadap mat rempit atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Samseng Jalanan di daerah ini, sempena Aidilfitri.

Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Asisten Superintendan Ismail Man, berkata sebanyak 25 buah motosikal turut disita dalam operasi yang bermula Khamis lalu dan berakhir awal pagi tadi.

Beliau berkata, pihaknya turut menahan pasangan adik-beradik lelaki kerana memiliki dadah manakala seorang lagi lelaki disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya.

"Operasi ini bagi mengekang kegiatan samseng jalanan di daerah ini, khususnya pada malam minggu dan malam raya yang menjadi tumpuan kumpulan mat rempit melakukan aktiviti seumpama itu.

SEBAHAGIAN motosikal yang diubahsuai bagi tujuan perlumbaan haram yang dirampas polis. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli
SEBAHAGIAN motosikal yang diubahsuai bagi tujuan perlumbaan haram yang dirampas polis. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

"Kita akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan kumpulan ini tidak bermaharajalela di atas jalan raya sehingga menimbulkan kesusahan kepada pengguna jalan raya lain," katanya.

Sepanjang operasi membabitkan 10 pegawai dan 92 anggota itu, sebanyak 10 lokasi kegiatan mat rempit diserbu dan dikepung, antaranya di Jalan Sultan Mahmud, Jalan Batu Buruk, Durian Burung, Pengadang Baru dan Padang Midin.

Ismail berkata, antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan menunggang secara berbahaya.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan, kumpulan mat rempit itu sedang leka dan dipercayai bersedia untuk melakukan lumba haram.

"Semua motosikal yang disita dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X