Jumaat, 26 Jun 2015 | 3:38pm

Pegawai TM selamat nahas empat kenderaan

SEREMBAN: Naib Presiden Telekom Malaysia (TM) Selangor, Datuk Zaini Maatan, terselamat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan yang mengorbankan seorang pemandu lori di Kilometer 253 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata nahas jam 5.15 pagi berhampiran Plaza Tol Senawang itu berlaku apabila sebuah lori tanpa muatan dipandu L Ravindaran, 39, merempuh dua lori lain.

Ravindaran disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

"Dalam kejadian itu, lori dipandu Ravindaran melanggar belakang lori membawa muatan kayu getah sebelum melanggar pula lori membawa muatan telur.

"Zaini yang memandu di lorong kanan melanggar muatan kayu getah yang terjatuh di atas jalan. Bagaimanapun, beliau dan dua lagi pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu tidak cedera," katanya.

Berita Harian X