Khamis, 18 Jun 2015 | 2:34pm

Penjual bihun sup didakwa tipu sewa rumah

KUALA LUMPUR: Seorang penjual bihun sup mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang eksekutif ketika berurusan menyewa sebuah rumah, Mac lalu.

Kenny Low Ti Ming, 25, didakwa menipu Raha Haniza Abd Rahman, 30, dengan memperdayakannya bahawa terdapat sebuah rumah untuk disewa sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM1,400 ke dalam akaun tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tingkat 9, Blok 1B, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Plaza Sentral, Jalan Sentral 5, Brickfields, di sini pada jam 4.40 petang, 23 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat atau boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi menawarkan wang jaminan RM10,000 bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon jumlah itu dikurangkan.

Majistret Muhamad Faizal Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Julai untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Berita Harian X