Isnin, 8 Jun 2015 | 5:21pm
KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur.
KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur.

Curi jam Omega, pekerja hotel dipenjara empat hari, denda RM8,000

KUALA LUMPUR: Akibat mencuri seutas jam tangan jenama Omega milik seorang pelancong, seorang pekerja hotel dipenjara empat hari dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Muhamad Faizal Ismail, menjatuhi hukuman tersebut terhadap Mohd Jazrul Abdul Rahim, 37, setelah dia mengaku bersalah mencuri jam tangan bernilai RM20,580 milik pelancong Cina, Xu Runcheng, empat hari lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 4 Jun lepas dan mengembalikan jam tangan tersebut kepada mangsa.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh gagal membayar denda itu.

Mohd Jazrul didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Nombor 716, Hotel Geo, Jalan Hang Kasturi, di sini pada pukul 11.30 pagi, 4 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sepuluh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, mangsa tertinggal jamnya di hotel selepas dia mendaftar keluar dari hotel tersebut.

Mangsa kemudian kembali semula ke hotel setelah menyedari ketiadaan jam itu namun gagal menemui jam itu. Hasil siasatan polis mendapati tertuduh mencuri jam tersebut.

Ketika rayuan tertuduh yang diwakili peguam Zulkifli Awang memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan dengan alasan tertuduh telah insaf dengan perbuatannya selain tertuduh yang masih bujang perlu menanggung ibu bapanya yang sudah tua dan mempunyai pelbagai jenis penyakit.

Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal dengan mengambil kira kekerapan jenayah curi yang berlaku di negara ini.

BERNAMA

Berita Harian X