Selasa, 2 Jun 2015 | 6:30pm

3 maut, 2 parah nahas 4 kenderaan di Raub

KEADAAN sebuah kereta yang terbabit kemalangan dengan sebuah treler di KM350, Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu dekat Raub pagi tadi. - Foto NSTP
KEADAAN sebuah kereta yang terbabit kemalangan dengan sebuah treler di KM350, Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu dekat Raub pagi tadi. - Foto NSTP

KUANTAN: Tiga maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di KM350, Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu dekat Raub pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah pemandu Proton Iswara, Bahari Abu, 63, dan penumpangnya, Abdurrahman, 27, dari Lombok Tengah, Indonesia serta penumpang Perodua Kancil iatu Talib Ibrahim, 56, dari Kampung Jenut, Raub.

Manakala mangsa yang cedera ialah pemandu serta penumpang Perodua Kancil, Zahim Abd Rahman, 40, dan Mohd Faiz Amirudin, 23, yang kini menerima rawatan di Hospital Raub.

Ketua Polis Daerah Raub, Supt Wan Zahari Wan Busu, berkata kejadian pada pukul 8.25 pagi itu melibatkan dua kereta, treler dan lori.

"Kemalangan berlaku apabila Proton Iswara yang dipandu Bahari dari arah Kuala Lumpur menghala Kota Baharu dikatakan terbabas dan memasuki laluan bertentangan ketika tiba di lokasi kejadian.

"Pada masa sama sebuah treler yang membawa muatan kayu bergergaji datang dari arah hadapan tidak sempat mengelak mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu bertembung," katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, treler itu kemudian bergesel dengan sebuah lori membawa muatan roti sebelum terbabas ke dalam gaung di sebelah kanan jalan.

"Sebuah Perodua Kancil yang berada di belakang lori itu tidak sempat mengelak dan turut terbabit dalam kemalangan berkenaan," katanya.

Katanya, pemandu lori muatan roti berumur 51 itu tidak cedera tetapi ditahan untuk membantu siasatan selepas ujian air kencing dijalankan mendapatinya positif syabu.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X