Selasa, 2 Jun 2015 | 3:20pm

Bot nelayan Vietnam ditahan di perairan Kota Tinggi

APMM menahan sebuah bot nelayan Vietnam kerana menangkap ikan di perairan negara ini pada kedudukan 20.3 batu nautika tenggara Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi. - Foto ihsan APMM
APMM menahan sebuah bot nelayan Vietnam kerana menangkap ikan di perairan negara ini pada kedudukan 20.3 batu nautika tenggara Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi. - Foto ihsan APMM

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam kerana menangkap ikan di perairan negara ini pada kedudukan 20.3 batu nautika tenggara Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi, dua hari lepas.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili, Kapten Maritim Amran Daud, berkata bot itu dikesan oleh kapal maritim yang melakukan rondaan pada 5.30 petang.

"Setelah melakukan pemeriksaan, didapati bot itu tidak mempunyai sebarang dokumen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amran berkata, bot itu juga didapati membawa muatan kira-kira tiga metrik tan ikan yang dipercayai ditangkap di kawasan perairan negara dengan menggunakan pukat tunda.

Katanya, berikutan itu, 21 kru bot rakyat Vietnam berusia 21 hingga 49 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) dan 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia.

- BERNAMA

Berita Harian X